fb fb fb fb fb

Potensi besar pasaran AfCFTA- ASEAN, buka ruang ekonomi baharu

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Chong Siew Huay/RTM

KUALA LUMPUR, 21 November - Kerajaan melihat potensi besar untuk menghubungkan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) dengan pasaran ASEAN sebagai langkah membuka ruang pertumbuhan ekonomi baharu.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Chong Siew Huay berkata usaha itu bukan sahaja mampu memperluas akses pasaran, malah berupaya merintis pembangunan rantaian bekalan strategik antara dua rantau yang saling melengkapi.

“Potensi perdagangan dan pelaburannya sangat besar, terutamanya dalam sektor tenaga, pertanian, teknologi, pembuatan perasaskan sumber asli serta industri halal dan logistik. ASEAN boleh menawarkan kepakaran dalam teknologi, kewangan Islam serta rantaian. Afrika menyediakan sumber semula jadi kepada kerja muda dan pasaran pengguna yang berkembang besar.” katanya.

Beliau menjelaskan integrasi antara AfCFTA dan ASEAN juga membuka peluang pelaburan bersama, pemindahan teknologi serta pembangunan industri strategik yang memberi nilai tambah kepada ekonomi negara.

Tambahnya, Malaysia berpotensi membangunkan rantaian produk halal, makanan proses dan farmaseutikal melalui penggunaan bahan mentah dari Afrika yang diproses di Malaysia sebelum diedarkan ke seluruh ASEAN.

Walaupun kedua-dua rantau mempunyai struktur ekonomi berbeza, beliau menegaskan ia bukan kekangan kerana Afrika memiliki kekuatan sumber asli dan tenaga, manakala ASEAN pula unggul dalam pembuatan serta pengurusan rantaian bekalan.

Dengan standard perdagangan yang jelas dan kerjasama logistik lebih cekap, kerjasama AfCFTA-ASEAN dilihat mampu berkembang sebagai antara pakatan perdagangan paling berpengaruh pada masa depan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ