fb fb fb fb fb

Pertemuan ringkas PM Anwar, PM China pada persidangan G20

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang mengadakan pertemuan ringkas di Pusat Konvensyen Sandton di Johannesburg/BERNAMA

JOHANNESBURG, 21 November - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang mengadakan pertemuan ringkas di Pusat Konvensyen Sandton, lokasi Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) berlangsung.

Kedua-dua pemimpin berkenaan menghadiri sidang kemuncak berkenaan, dengan China sebagai negara anggota G20.

Datuk Seri Anwar hadir sebagai tetamu kepada Kepresidenan G20 di bawah Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa.

Undangan ke sidang kemuncak itu, yang berlangsung dari 22 sehingga 23 November disampaikan kepada Perdana Menteri atas kapasiti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini. 

Kedua-dua pemimpin dilihat sempat bertegur sapa dan berbual sebentar sebelum meneruskan agenda masing-masing.

Negara anggota G20 terdiri daripada Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Türkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah.

Datuk Seri Anwar tiba di sini pada Khamis bagi lawatan kerja selama empat hari dan menjadi negara kedua dalam rangka lawatan kerja tiga negara beliau ke rantau Afrika.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ