fb fb fb fb fb

Pos Senderut, Lipis jadi lokasi pertama pemasangan internet di Pahang

Foto FB Menteri

LIPIS, 15 Julai- Kampung Orang Asli Tual B di Pos Senderut, Lipis, Pahang menjadi lokasi pertama kemudahan capaian internet satelit dengan kelajuan 100Mpbs.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata inisiatif yang dikenali sebagai KampungDigital364.com itu, bakal dinikmati lebih 4,000 penduduk melibatkan 14 kampung Orang Asli.

Usaha itu bagi mempercepatkan penyediaan kemudahan internet di kawasan luar bandar, berikutan penggunaan talian kabel optik menelan kos tinggi serta tempoh pemasangan yang lama.

"Kabel optik terlampau mahal kalau nak pasang, mungkin dalam masa 10 tahun pun tak boleh pasang. Jadi, kita pergi kepada alternatif, kita pasang satelit.

Menerusi satelit ini, orang kampung boleh menggunakan teknologi digital untuk menghantar Whatsapp membaca internet dan sebagainya berbanding sebelum ini terputus hubungan. Jadi, kita pergi kepada yang kita mampu ketika ini," kata Wan Rosdy kepada pemberita selepas merasmikan Kampung Digital364.com di sini, hari ini.


(Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempat beramah mesra
bersama penduduk Orang Asli)

Inisiatif itu juga membolehkan askes kepada e-dagang, aliran pendapatan selain membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk kampung.

Usaha sama akan diperluas ke 50 kampung di Pahang menjelang hujung tahun ini.

Dalam pada itu, penduduk yang ditemui, Ekid Jantan menyambut baik penyediaan kemudahan internet tersebut.

"Saya rasa dengan pemasangan internet ini ia memudahkan kami. Senang anak buah saya nak buat panggilan, nak berhubung dengan rakan di tempat lain ke," kata Ekid kepada pemberita RTM.

Media Baharu