(Foto fail)
JOHOR BAHRU, 15 Julai- Tindakan kerajaan memberi kelulusan kepada 37 syarikat mengimport 285,700 tan metrik bekalan gula putih merupakan salah satu usaha mendukung industri gula negara ke tahap lebih tinggi selain memastikan kestabilan bekalan terus terjamin.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan, perkara itu bukan disebabkan isu gangguan bekalan gula di dalam negara.
Menurut beliau bekalan gula putih bertapis dalam negara adalah mencukupi untuk keperluan industri dan domestik.
"Yang penting bagi saya adalah pihak CSR dan MSN yang ada dalam negara ini kita bantu mereka dari segi apa kesulitan mereka sebagai contohnya isu pekerja asing yang mereka perlukan kita bantu.
"Setakat ini alhamdulillah harga gula pasir, dua jenis untuk rakyat iaitu kasar dan halus masih dijual dengan harga RM2.85 sen yang halus itu kita jual pada harga RM2.95 sen itu tidak ada masalah," kata Salahuddin selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Zero Health Care di Pusat Beli Belah Paradigm Mall, di sini.
Mengulas mengenai masalah bekalan gula yang berlaku di Limbang, Sarawak beliau berkata pendekatan serius akan diambil.
Bagaimanapun pihak kementerian belum menerima laporan mengenai perkara itu.
Salahuddin juga mengingatkan masyarakat agar terus menyalurkan aduan jika terdapat sebarang permasalahan yang berlaku di kawasan sekitar agar isu seperti itu dapat diselesaikan dengan kadar segera.
(Datuk Seri Salahuddin di majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Zero Health
Care)