fb fb fb fb fb

Peruntukan RM150 juta, tambah baik fasiliti kuarters perumahan, balai bawah KDN

(Perdana Menteri menyampaikan replika cek kepada wakil anak-anak lepasan SPM pada majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kem Batalion ke-2, PGA PDRM Malaysia/BERNAMA)

KULIM, 15 Julai- Sebanyak RM150 juta peruntukan diluluskan kerajaan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu bertujuan untuk menambahbaik fasiliti serta penyelenggaraan kuarters perumahan dan balai bawah kementerian tersebut.

Beliau berkata sebanyak RM50 juta akan digunakan untuk penyelenggaraan balai dan kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebanyak RM45 juta untuk penambahbaikan dan naik taraf serta perolehan peralatan di 117 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Manakala, RM40 juta untuk infrastruktur dan fasiliti berkaitan Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).


(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim)

"Penyelenggaraan kuarters termasuk ibu pejabat RM50 juta. Untuk ESSCOM tadi saya teliti keperluannya, saya luluskan RM40 juta. Saya telah luluskan satu juta baru-baru ini, tatkala melawat Sungai Buloh, saya juga luluskan RM15 juta untuk Jabatan Penjara (kerja-kerja pembaikan kuarters dan fasiliti Jabatan Penjara)", katanya.

Beliau berkata perkara berkenaan akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

"Jadi saya luluskan RM45 juta untuk PGA itu segera dan bila saya kata segera, ini Sabtu, Isnin wang mesti disalurkan dan saya akan bincang dengan menteri dan ketua setiausaha (KSU). Tentera dia ada kor kejuruteraan bagaimana hendak cepat kemajuan, kerana sebelum akhir tahun ini perlu diselesaikan", katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Program Ramah mesra bersama warga Kem Batalion Ke-2 Pasukan Gerakan Am di Kem Batalion 2, Pasukan Gerakan Am, Kulim.

Media Baharu