KUALA LUMPUR, 14 Disember - Pos Malaysia Berhad melancarkan setem khas Palestin Merdeka yang akan mula dijual di semua rangkaian Pos Malaysia bermula 18 Januari, tahun depan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pelancaran setem khas itu bukan sekadar simbolik sebaliknya melambangkan solidariti dan sokongan penuh rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai kemerdekaan dan keamanan.
"Kita akan pertimbang sekiranya perlu setelah dilancarkan ataupun setelah mula ada di pasaran mungkin kita akan berbincang dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengusahakan kempen menghantar surat untuk menggesa supaya gencatan senjata dilakukan.
"Tetapi kita tunggu sebab sekarang ini keadaan agak dinamik, walau apapun kita doakan agar usaha untuk menghentikan perang dan kezaliman dibumi Palestin itu berlaku sekarang," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran setem Khas "Palestin Merdeka", di sini.
Tambah Fahmi, ia merupakan kali ketiga setem berkaitan Palestin dikeluarkan Pos Malaysia. Kali pertama iaitu pada 1978 dan kali kedua pada 1982.
Setem berkenaan juga boleh dibeli dalam bentuk helaian setem, mengandungi 20 setem setiap helaian, pada harga RM26, Sampul Hari Pertama pula boleh didapati pada harga RM0.50 dan Folder pada harga RM6.
Sebahagian daripada hasil jualan akan disalurkan kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin yang diuruskan Kementerian Luar.