fb fb fb fb fb

Portal MyInvois LHDN kini boleh diakses

Portal MyInvois Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini boleh diakses bagi tujuan pengeluaran dan penghantaran e-Invois / Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 29 Jun - Portal MyInvois Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini boleh diakses bagi tujuan pengeluaran dan penghantaran e-Invois.

LHDN memaklumkan ketersediaan portal MyInvois itu membuktikan komitmen agensi berkenaan dalam memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar terutamanya dalam kalangan pembayar cukai Fasa 1 yang akan menggunakan e-Invois secara mandatori mulai 1 Ogos ini.

“Menerusi perkembangan terbaharu ini, pembayar cukai boleh mengemukakan e-Invois kepada LHDN melalui dua kaedah iaitu Integrasi Application Programming Interface (API) (bagi syarikat yang mempunyai sistem perisian sendiri) dan portal MyInvois yang boleh diakses secara percuma di https://mytax.hasil.gov.my,” menurut LHDN menerusi kenyataan.

Sebagai maklumat tambahan, Garis Panduan Umum e-Invois (Versi 3.0) dan Garis Panduan Spesifik e-Invois (Versi 2.2) telah dimuat naik di Laman Mikro e-Invois di portal LHDN menerusi pautan https://www.hasil.gov.my/e-invois sebagai rujukan dan panduan kepada pembayar cukai.

Kerajaan berhasrat melaksanakan e-Invois secara berperingkat dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran cukai di Malaysia.

Ini selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu satu daripada tumpuan utamanya adalah untuk mengukuhkan infrastruktur perkhidmatan digital dan mendigitalkan pentadbiran cukai.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN