fb fb fb fb fb

Portal aduan buli: Baru masuk hari kelima KPM terima 19 aduan buli

PUTRAJAYA, 22 Ogos - Kementerian Pendidikan (KPM) menerima 19 aduan berkaitan kes buli sejak portal aduan buli dilancarkan pada 18 Ogos lalu.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, 16 daripadanya diterima menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam manakala tiga lagi aduan melalui aplikasi Whatsapp.

“Setiap aduan kita teliti dan dapatkan maklumat lanjut untuk memastikan apa yang sebenarnya berlaku.

“Melalui e mel masih belum menerima sebarang aduan, melalui talian telefon sebanyak lima panggilan tetapi lebih kepada pertanyaan dan bukannya aduan. Itu merupakan data terkini selepas kita lancarkan portal aduan buli pada minggu lepas.

“Ibu bapa serta pemegang taruh dalam sektor pendidikan melihat platform ini bukan sahaja digunakan untuk membuat aduan tetapi juga mengajukan pertanyaan serta memberi maklum balas. Apa yang penting, aduan yang dibuat itu mestilah lengkap dengan maklumat,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan pelantar pembelajaran digital (DELIMa) KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) hari ini.

(Radzi Jidin menghadiri majlis Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan:
DELIMa Agenda Digital Kita di Putrajaya/FOTO Facebook Radzi Jidin)

Tambah Radzi, pihaknya akan membuat penelitian secara mendalam sebelum mengambil tindakan sewajarnya berkaitan kes yang dilaporkan malah tiada sekolah di negara ini dianaktirikan daripada aduan tersebut.

“Apa yang paling penting sistem itu memberi impak yang optimum maka dengan adanya sistem ini tak kira di negeri mana sama ada luar bandar, bandar, asrama atau sekolah harian apa yang penting maklumat kes tersebut sampai ke kementerian secepat mungkin dan kita ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Portal aduan buli yang boleh diakses di laman sesawang https://www.moe.gov.my/aduanbuliitu menyediakan tiga saluran untuk orang awam, mangsa, ibu bapa atau penjaga melaporkan sebarang kejadian buli di sekolah.

Saluran berkenaan adalah melalui talian khas aduan buli (03-88849352), e-mel (Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.) atau aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) KPM yang tersedia di portal aduan itu.

Turut disediakan pesanan menerusi Aplikasi WhatsApp di talian 0148009325.

Media Baharu