fb fb fb fb fb

'Port' pertaruhan sabung ayam diserbu,15 dicekup

Foto RTM

KOTA BHARU, 14 Februari - Sebuah kedai di Pasar Beris Bachok yang dijadikan sebagai markas pertaruhan judi terbongkar selepas diserbu polis pada petang Selasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata kegiatan pertaruhan berkenaan dilakukan dengan mengikuti pertandingan Laga Ayam secara langsung yang disiarkan oleh stesen televisyen Thailand.

Menurutnya, menerusi serbuan yang dilakukan pihaknya, 15 lelaki yang berusia antara 25 hingga 74 tahun ditahan.

Tambah Muhammad Zaki, sejumlah wang tunai bernilai RM 628 yang dipercayai digunakan untuk pertaruhan turut dirampas.

Selain itu, pemeriksaan yang dilakukan turut menemui Sebuah televisyen beserta alat kawalan jauh dan satu unit decoder.

"Dalam serbuan itu, kita dapati mereka (suspek) sedang bertaruh berdasarkan siaran langsung laga ayam yang kita percaya berlaku di negara jiran.

"Tuan punya kedai yang memegang pertaruhan itu, kita anggap sebagai penganjur", katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Jelas Zaki, nilai pertaruhan bagi setiap permainan bermula antara RM 2 sehingga RM200.

Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 17 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD