fb fb fb fb fb

E-Belanja mudahkan keluarga beli barangan untuk banduan

Foto RTM

SUNGAI BULOH, 14 Februari - Jabatan Penjara Malaysia telah melaksanakan sistem pembelian barang keperluan secara dalam talian, E-Belanja untuk banduan.

Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad berkata, inisiatif E-Belanja itu secara tidak langsung membantu ahli keluarga banduan yang tidak dapat berjumpa, melawat serta mengirim wang belanja; membuat pembelian dengan lebih mudah.

Jelas Nordin, pada masa sama, ia memberi ruang kepada ahli keluarga memberi sokongan moral kepada banduan dan memastikan keperluan mereka dipenuhi.

Sehingga kini, 28 institusi penjara telah menggunakan E-Belanja dan ia akan diperluas ke seluruh negara.

Dalam pada itu, Nordin menegaskan Jabatan Penjara sentiasa berusaha untuk mengurangkan jumlah penghuni penjara di seluruh negara.

Ini dengan memperluaskan program pemulihan dalam komuniti.

Bagi tujuan itu, seramai 1,092 banduan telah diberi peluang mengikuti Program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani bersempena Tahun Baharu Cina.

"Ini bukan bermaksud kita nak mengurangkan penguatkuasaan, kepada penjenayah-penjenayah.

"Tetapi kita nak mengurangkan mereka ditahan di dalam penjara, kerana hukuman itu boleh dilaksanakan baik di dalam penjara, mahupun di luar penjara.

"Jadi kesemua itu boleh kita sempurnakan hukuman untuk mencapai matlamatnya dari segi pencegahan, pembalasan, pemulihan, melindungi masyarakat dan memperbaiki semula kehidupan mereka", kata Nordin.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD