fb fb fb fb fb

Polis tahan dua lelaki, rampas ganja bernilai RM62,000

Foto RTM

GEORGE TOWN, 14 Februari - Dua lelaki tempatan ditahan di sekitar daerah Barat Daya, Pulau Pinang kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.

Kedua-dua suspek itu ditahan bersama dadah jenis ganja bernilai RM62,000.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, dadah seberat hampir 20 kilogram itu ditemui dalam sebuah kereta yang dinaiki suspek.

" Dadah tersebut dapat kita jumpai dalam kereta.

" Kita telah buat intipan dan dalam serbuan tersebut kita juga telah rampas kenderaan dimana ganja diletakkan dalam kenderaan tersebut," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 23 dan 34 tahun.

Aktiviti pengedaran dadah berkenaan dipercayai telah bergiat aktif sejak penghujung tahun lalu untuk pasaran tempatan.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

Semakan mendapati, seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

Kedua-dua suspek direman selama 7 hari untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD