KUALA LUMPUR, 14 Februari - Harga runcit petrol RON97 dan RON95 serta diesel masing-masing kekal pada RM3.47, RM2.05 dan RM2.15 seliter mulai esok hingga 21 Februari ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata, harga ditetapkan berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM).
"Bagi melindungi pengguna daripada kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan akan mengekalkan harga RON95 pada paras harga siling iaitu RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, walaupun harga pasaran sebenar kedua-dua produk itu melebihi harga siling ditetapkan," menurut kenyataan itu.
Menurut MOF kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah bersesuaian untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.