KUALA LUMPUR, 7 Mac- Politik yang stabil dan dasar ekonomi yang jelas antara punca Amazon Web Services (AWS) komited untuk melabur di Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rundingan pelaburan bersama AWS telah bermula pada tahun 2019, namun AWS hanya bersetuju untuk melabur ketika pentadbiran kerajaan perpaduan.
"Perundingan itu sejak Disember 2019 kemudian diteruskan tetapi Amazon menunggu sehingga mereka percaya kepada satu pentadbiran politik yang stabil dengan dasar dan arahan yang jelas dan ini yang menyebabkan akhirnya mereka menghubungi kami dan menyatakan kerana politik yang stabil dan dasar ekonomi yang jelas menyebabkan Amazon memilih Malaysia sebagai pangkalan mereka," kata Anwar dalam persidangan Dewan Rakyat.
Tambah beliau lagi, dengan pelaburan bernilai RM25.5 bilion menjelang tahun 2037, peluang pekerjaan yang tinggi pasti akan disediakan termasuk membuka peluang kepada perniagaan tempatan untuk terus berinovasi dan berkembang di peringkat global.
Anwar yang menjawab pertanyaan ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin turut memaklumkan bahawa pelaburan berkenaan adalah telus.
Tiada rundingan melalui ejen atau syarikat tempatan yang dilantik serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
(Foto fail)