fb fb fb fb fb

Politeknik, kolej komuniti perlu tawar kursus ikut pasaran setempat

(Para graduan yang hadir pada perasmian Istiadat Konvokesyen
kali ke-48 Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak,20 Ogos 2022/BERNAMA)


KUALA BESUT, 8 September- Kementerian Pengajian Tinggi mengesyorkan agar kursus baharu yang bakal ditawarkan di Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh negara perlu mengikut keperluan pasaran serta kehendak penduduk setempat.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kursus sesuai akan memudahkan pelajar yang tamat pengajian mendapat pekerjaan di tempat mereka sendiri.

“Kursus yang ditawarkan tidak mengikut keperluan setempat menyebabkan apabila mereka tamat pengajian nanti, mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kursus yang diambil.

“Sehubungan itu, institusi di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) ini perlu membuat kajian secara  menyeluruh sebelum menawarkan kursus di kampus masing-masing,” katanya semasa melakukan lawatan kerja ke  kampus baharu Politeknik Besut dekat Bukit Keluang di sini hari ini.

Kampus itu, yang siap Ogos lepas, akan menerima kemasukan 150 pelajar pada awal bulan depan.

Pengarahnya, Mukhtar Bakar berkata kumpulan itu adalah pelajar sedia ada yang sebelum ini melanjutkan pengajian di premis sementara yang beroperasi di Kampung Raja di sini sejak lima tahun lepas.

(Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad selepas lawatan kerja
 ke  kampus baharu Politeknik Besut dekat Bukit Keluang)


“Kampus bernilai RM154 juta itu akan meningkatkan pengambilan pelajar baharu kepada 630 orang pada tahun depan dan ditambah sehingga mencapai kapasiti maksimum seramai 1,440 pelajar secara berperingkat.

“Buat masa ini, hanya satu kursus di sini iaitu Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital)  tetapi mulai tahun depan, dua lagi kursus baharu akan ditawarkan iaitu Diploma Reka Bentuk Kraf dan Diploma Penggayaan Batik,” katanya.

Beliau berkata Politeknik Besut juga telah memohon tiga kursus baharu peringkat diploma untuk ditawarkan di kampus itu yang sesuai dengan keperluan setempat iaitu  Teknologi Kejuruteraan Marin (Mekanikal), Pengurusan Hotel serta Pengajian Video dan Filem. -BERNAMA

 

Media Baharu