fb fb fb fb fb

OPR naik kepada 2.5%

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 8 September- Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.5%.

Ini menjadikan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR ditingkatkan masing-masing kepada 2.75% dan 2.25%.

BNM dalam kenyataan memaklumkan, ekonomi global terus berkembang, meski pada kadar sederhana disebabkan tekanan kos semakin meningkat, keadaan kewangan global lebih ketat serta langkah-langkah pembendungan di China.

Mengulas kenaikan (OPR) Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pusat Dasar dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE), Dr Zokhri Idris berkata, "pelarasan kali ketiga berturut-turut itu dilihat berasas dan terkawal."

Ini memandangkan ia dibuat secara berperingkat berbanding pengetatan dasar monetari lebih agresif oleh bank-bank pusat lain.

Beliau turut menambah, "sememangnya kenaikan faktor-faktor ini adalah konsisten dan berada dalam jangkaan kita.

"Dari segi faktor luaran kita membincangkan tentang peperangan yang masih belum berakhir antara Ukraine dan Rusia, juga membuatkan kemalapan proses rantaian pembekalan yang berada di China dan juga kenaikan harga tenaga kerja di Eropah dan juga dunia menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia ini bergerak secara sederhana." Jelasnya.

Beliau turut menjangkakan, BNM akan terus membuat pelarasan pada mesyuarat MPC selanjutnya dan berharap sebarang peningkatan tidak dibuat secara drastik.

(Dr Zokhri Idris, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pusat Dasar dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE))

Ini bagi membolehkan rakyat bersiap siaga untuk meningkatkan simpanan dan pendapatan isi rumah.

Bagaimanapun pasaran kerja yang bertambah baik dan pembukaan semula sepenuhnya kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa kekal menyokong pertumbuhan global.

Disebalik perkembangan itu, tekanan inflasi yang kekal tinggi dijangka mendorong bank-bank pusat membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari seterusnya bagi mengurangkan tekanan inflasi.

Prospek pertumbuhan ekonomi negara yang terus kukuh, mendorong MPC membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari.

MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal serta akan terus menilai keadaan yang berubah-ubahselain kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Sebarang pelarasan pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur, bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.

Media Baharu