fb fb fb fb fb

Kerajaan terus pertingkat keselamatan di ESSZone

(Annuar dalam lawatan kerja tiga hari ke Sabah juga berpeluang menyaksikan
secara dekat operasi keselamatan melibatkan kawasan kepulauan)


TAWAU, 8 September- Keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), akan terus dipertingkat, sejajar kesungguhan kerajaan untuk menjaga kedaulatan negara.

Ketika menyatakan komitmen itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata,
atas arahan Perdana Menteri kerajaan akan terus memberi tumpuan yang tinggi di kawasan itu bagi menjamin keselamatan rakyat di Sabah, setiap masa.

"Kita faham juga apabila ada berita-berita yang mungkin menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat yang mencari rezeki, yang berniaga, yang menjalankan aktiviti harian maka soal keselamatan (adalah) perkara yang paling penting.

"Pasukan komunikasi dikehendaki membuat liputan sepenuhnya perkara (berkaitan usaha keselamatan) yang sedang berjalan," katanya.

Beliau bercakap demikian selepas menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Sabah di Zon 6, di sini.

Annuar dalam lawatan kerja tiga hari ke Sabah juga berpeluang menyaksikan secara dekat operasi keselamatan melibatkan kawasan kepulauan.

 

(Annuar (tengah) menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi
Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Sabah di Zon 6, di Tawau)


Lawatan itu turut melibatkan komuniti Tawau dan Semporna berhubung perkembangan talian internet dan komunikasi serta perkembangan kos sara hidup.

Pada majlis itu, seramai 23 individu menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi PEDi bagi zon 6 yang melibatkan Parlimen Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kalabakan.

Semasa lawatan itu, Annuar turut mengadakan pertemuan dengan rakyat di kawasan terbabit untuk mendapatkan maklum balas mengenai pengalaman mereka daripada aspek keselamatan dan kos barang selaras dengan tanggungjawab beliau sebagai Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

"Pada Sabtu ini, saya akan bersarapan dengan penduduk kampung di Pulau Bum Bum supaya kita dapat berkomunikasi dengan rakyat.

"Saya suka untuk dapatkan maklum balas tentang apa yang mereka lalui, dari segi keselamatan, harga barang, kos sara hidup dan talian perhubungan," katanya.

Annuar berkata beliau juga akan meninjau beberapa menara komunikasi di Pulau Bum Bum sebagai sebahagian Program Kembara Connecitivity untuk meningkatkan lagi mutu capaian jalur lebar di seluruh Sabah.

Media Baharu