PUTRAJAYA, 2 Ogos - Elemen integriti dan akauntabiliti sentiasa menjadi fokus utama pucuk pimpinan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam menyokong aspirasi kerajaan MADANI.
Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, penjawat awam dituntut untuk sentiasa memelihara imej dan integriti perkhidmatan awam dengan menjauhi sebarang bentuk tindakan yang boleh mencemar reputasi institusi kerajaan.
JPA juga komited memantapkan kaedah pemantauan bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat yang lebih tersusun.
"Penjawat awam sentiasa bersedia untuk menyambut apa jua yang terkandung dalam naskhah RMK13. Seperti yang dinyatakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, pemantauan akan dilakukan dengan cara pucuk pimpinan turun ke padang melihat bagaimana pentadbiran dijalankan. Selain itu, penilaian juga akan dibuat menerusi pelaporan dibentangkan dalam mesyuarat.
"Insyaa-Allah seluruh penjawat awam bersatu padu berganding bahu untuk memastikan apa yang digariskan dalam RMK13 dapat kita laksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.
Penguatkuasaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 berperanan memastikan kesinambungan tadbir urus negara yang telus, berakauntabiliti serta berkesan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 MAPPA XX), di sini pagi tadi.
Sementara itu, Tan Sri Dahlan berkata larian MAPPA XX kali ini menerima penyertaan seramai 12,000 peserta yang mencatat rekod penyertaan lebih tinggi berbanding tahun lepas.
Tambahnya, perkara itu membuktikan tahap kesedaran terhadap kesihatan dalam kalangan penjawat awam semakin meningkat.
"Saya yakin bahawa produktiviti dan cara kerja penjawat awam akan lebih baik kerana minda yang bagus datang daripada badan yang sihat," katanya.