
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Polisi Perlindungan Murid Sekolah mewujudkan kerangka jelas mengenai peranan setiap pihak, bukan meletakkan seluruh beban keselamatan di bahu guru.
- Semua agensi dan pihak berkaitan (KPM, JPN, PPD, kepimpinan sekolah, PDRM, JKM, ibu bapa, NGO) bertanggungjawab dalam perlindungan murid.
- Guru tidak perlu menunggu bukti lengkap; lapor segera bila ada kebimbangan terhadap keselamatan anak.
- Sebagai barisan hadapan, guru hanya perlu melapor segera kepada pentadbir apabila menerima aduan atau syak munasabah.
- Polisi bukan bertujuan menyalahkan guru; ia melindungi murid dan guru, serta mewujudkan sekolah yang selamat; sesi libat urus dan rakaman disediakan.
Tegas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi satu hantaran Facebook menyatakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kepimpinan sekolah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO) turut mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam ekosistem perlindungan murid.
“Guru tidak perlu menunggu sehingga ada bukti lengkap untuk melapor. Apa yang penting ialah jangan diam apabila ada kebimbangan terhadap keselamatan seorang anak,” katanya.
Beliau menjelaskan guru sebagai barisan hadapan hanya perlu melapor segera kepada pentadbir apabila menerima aduan atau mempunyai syak munasabah.
Tambah beliau, sesi libat urus dan penerangan akan diteruskan kerana masih ada guru yang belum jelas tentang batas tanggungjawab mereka.
Rakaman sesi turut dimuat naik untuk rujukan guru.
Beliau menjelaskan polisi tersebut bukan untuk mencari siapa yang boleh dipersalahkan, apatah lagi menjadikan guru sebagai kambing hitam.
Malah tujuannya ialah melindungi murid, guru serta mewujudkan sekolah yang selamat.