fb fb fb fb fb

Polisi PEP harus dilaksana, elak negara berdepan risiko penarafan

KUALA LUMPUR, 6 April- Negara akan terdedah kepada risiko penarafan yang tidak memuaskan sekiranya institusi kewangan tidak terus melaksanakan polisi berkaitan Individu Yang Mempunyai Pengaruh Politik (PEP).

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata antara lain, penilaian negatif ke atas negara akan mengakibatkan kesan serius kepada urusan perbankan.

Contohnya, rakyat Malaysia dan syarikat yang ditubuhkan di Malaysia akan dikenakan tahap penelitian dan pemantauan yang lebih ketat apabila berurusan dengan pihak luar negara dan ini akan menyukarkan pembukaan akaun serta membuat transaksi kewangan antara sempadan.

Bagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengadakan perbincangan dengan institusi perbankan dari semasa ke semasa untuk menambah baik proses dalaman dan prosedur berkenaan PEP.

"Bagi pelanggan yang berisiko tinggi termasuk PEP, institusi-institusi perbankan perlu melakukan usaha wajar pelanggan yang dipertingkatkan 'Enhanced Customer Due Diligence (ECDD). Pelaksanaan ECDD bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan kefahaman secara menyeluruh mengenai pelanggan tersebut dan seterusnya memelihara sektor kewangan negara daripada sebarang risiko aktiviti jenayah kewangan.

Langkah-langkah ini adalah bersifat pencegahan dan tidak harus ditafsirkan sebagai persepsi negatif ke atas PEP. Saya sedar ramai dalam kalangan kita ini termasuk dalam PEP," kata Steven Sim di Parlimen, hari ini.


(Foto Fail)

Beliau menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.

Tambahnya, pematuhan Malaysia kepada piawaian antarabangsa tertakluk kepada penilaian bersama oleh badan antarabangsa 'Financial Action Task Force' (FATF).

Sebarang keputusan FATF mengenai ketidakpatuhan terhadap piaiwan yang digariskan boleh membawa kesan yang negatif, termasuk penyenaraian hitam negara tersebut.

Media Baharu