fb fb fb fb fb

Cadangan kaji semula tempoh haji akan dibincangkan

(Foto BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 6 April- Cadangan untuk mengkaji semula tempoh ibadah haji akan dibincangkan lebih lanjut dan mendalam.

Ini kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata dengan memendekkan tempoh pakej muassasah akan menyebabkan jemaah haji menginap di Makkah dan Madinah semasa waktu kemuncak haji dan akan menyebabkan peningkatan kos tiket penerbangan dan sewaan bangunan.

"Tempoh masa yang begitu panjang iaitu 40 hingga 45 hari ini berdasarkan kontrak jangka panjang, sebahagian usaha dibuat Tabung Haji (TH) dengan pemilik-pemilik hotel di Arab Saudi. Tempoh yang begitu panjang itu membolehkan kos terbabit dikawal. Jika dipendekkan maka tempoh masa ditetapkan itu berlaku pada kemuncak haji dan ketika itu berlaku peningkatan yang sangat tinggi ke atas hotel yang bakal didiami jemaah haji. Perkara ini akan dibawa dalam bengkel untuk kajian lebih lanjut dan mendalam. Satu mekanisme yang baik akan memastikan kos ditanggung muassasah dapat dikurangkan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya di sini.

TH telah berusaha untuk mengawal peningkatan kos dengan memeterai beberapa perjanjian kontrak jangka panjang untuk penerbangan, penginapan, sajian makanan, dan pelbagai perkhidmatan di Arab Saudi.

Dengan cara tersebut, harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun.

TH sebelum ini menjangkakan jumlah kos haji untuk jemaah haji muassasah akan meningkat sehingga 30,850 pada tahun ini.

Mekanisme bantuan kewangan haji secara bersasar untuk musim haji tahun ini dan tahun-tahun berikutnya akan diteruskan oleh TH dengan mengambil kira tahap kemampuan kewangan seseorang.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu