fb fb fb fb fb

Polis tunggu laporan TNB kes tiga beradik terkena renjatan

TUMPAT, 20 Disember - Polis Kelantan menunggu laporan penuh siasatan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung kematian tiga beradik yang terkena renjatan elektrik semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya akan membuat siasatan lanjut bagi melihat sama ada tragedi tersebut terdapat elemen kecuaian atau sebaliknya.

(Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun)

"TNB memberi komitmen penuh dalam perkara ini dan kita akan lihat dari sudut kecuaian dan sebagainya. Bukan kita nak mencari kesalahan tapi bagaimana cara untuk mengatasi, mungkin ada kelemahan yang perlu diperbetulkan," katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Kampung Morak, di sini.

Dalam perkembangan banjir di negeri ini, Muhamad Zaki berkata setakat ini sebanyak 138 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri ini membabitkan 27,098 mangsa.

"Mangsa banjir semakin bertambah dan dijangka air dari Kuala Krai akan turun ke Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Mas manakala di negara jiran situasi banjir dikatakan sudah semakin teruk.

"Kita jangkakan bilangan mangsa akan terus bertambah namun kekuatan di pihak polis masih terkawal dan kita harapkan kerjasama dari semua pihak berjalan dengan baik," katanya.

Media Baharu