KUALA LUMPUR, 5 Julai – Negara anggota BRICS dan ASEAN perlu memperkukuh kerjasama strategik, termasuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan rentas rantau demi manfaat bersama negara-negara membangun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan itu penting dalam usaha memperkukuh suara kolektif negara-negara membangun di pentas global yang semakin mencabar.
“Saya tegaskan dengan penuh keyakinan bahawa negara-negara membangun tidak lagi wajar dianggap sebagai pemain pinggiran dalam sistem global. Kita bukan sekadar pewaris sejarah pasca penjajahan, sebaliknya kini bangkit sebagai kuasa bermaruah yang memiliki kekuatan tersendiri dalam teknologi, perdagangan, kepimpinan dan suara moral dunia,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar menyampaikan ucaptama beliau di Forum Perniagaan BRICS sempena Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro, Brazil, hari ini,
Katanya, keunikan BRICS menyerlah apabila ia bukan hanya menjadi platform kerjasama antara kerajaan, bahkan turut disertai sektor swasta, wanita, belia dan masyarakat madani yang menjadikan perjuangannya inklusif dan berdaya tahan.
“BRICS kini melangkaui retorik politik dan bergerak sebagai gabungan kuasa politik, ekonomi dan masyarakat sivil yang menuntut sistem global lebih adil dan saksama,” jelasnya.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar berkata, Malaysia turut berkongsi aspirasi multilateralisme, memperkukuh perdagangan intra ASEAN dan mempelopori penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga rentas sempadan bagi mewujudkan sistem kewangan yang stabil serta bebas daripada dominasi unilateral.
Beliau turut menyeru agar reformasi besar-besaran dilaksanakan terhadap institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) agar lebih mencerminkan realiti semasa dan keperluan negara membangun.
“BRICS 2025 bukan sekadar kesinambungan usaha lalu, sebaliknya menjadi detik kebangkitan baharu. Dengan kepimpinan politik berwawasan, sektor swasta progresif dan perpaduan Selatan Global yang semakin kukuh, kita punya peluang sebenar untuk membentuk semula landskap global,” katanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Lula atas kepimpinan yang disifatkan berani dan berprinsip, serta menyatakan kesediaan Malaysia meneruskan momentum kerjasama itu di Kuala Lumpur pada Oktober nanti.