RIO DE JANERIO, 5 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru negara-negara membangun atau Dunia Selatan tidak lagi bergantung kepada kuasa besar.
Sebaliknya, membina kekuatan sendiri berpaksikan kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil, golongan muda dan wanita.
Tegas beliau, masa depan sistem antarabangsa tidak harus terus ditentukan oleh segelintir kuasa dominan, tetapi perlu dicorakkan secara kolektif oleh negara-negara yang selama ini dipinggirkan dari proses pembentukan dasar global.
''Kita tidak lagi bercakap dari kedudukan lemah sebagai bekas negara jajahan. Kini kita tampil sebagai negara merdeka, dengan kekuatan tersendiri dalam teknologi, industri, kecerdasan buatan dan keselamatan makanan untuk mencorak masa depan dunia.''
Perdana Menteri berkata demikian dalam sesi ucaptama presiden di Forum Perniagaan BRICS 2025 di sini, hari ini.
Pada sesi sama, Datuk Seri Anwar turut menegaskan pendirian Malaysia bahawa Dunia Selatan harus menjadi kuasa graviti baharu dalam landskap antarabangsa dengan kepimpinan politik yang progresif dan sokongan kukuh dari sektor perniagaan serta masyarakat sivil.
Beliau menekankan bahawa kekuatan sebenar tidak terletak pada retorik, tetapi keupayaan untuk membina jaringan kerjasama yang saling memperkukuh dalam kalangan negara-negara membangun.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut berkongsi beberapa langkah konkrit yang telah diambil, termasuk usaha Malaysia dan rakan serantau untuk menggunakan mata wang tempatan dalam perdagangan dua hala, seperti dengan Indonesia, Thailand dan China.
Langkah tersebut dilihat sebagai permulaan ke arah mengurangkan kebergantungan terhadap dolar Amerika secara beransur-ansur.
''Kita tidak bercakap tentang penyahdolaran sepenuhnya. Tetapi permulaan 10 hingga 20 peratus pun cukup untuk mencetuskan perbezaan. Ini langkah yang kita sendiri mesti laksanakan, bukan sekadar merungut,'' ujarnya.
Perdana Menteri turut menggesa institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia direformasi agar lebih adil dan demokratik terhadap negara-negara membangun, yang kini semakin memainkan peranan penting dalam ekonomi global.
Menurut beliau, BRICS 2025 mencerminkan kekuatan baharu Dunia Selatan, bukan sahaja dalam kepimpinan politik, tetapi juga dalam kapasiti ekonomi, teknologi dan sosial yang bersedia mengubah arah sejarah dunia.
Datuk Seri Anwar menutup ucapannya dengan menjemput para pemimpin dan rakan BRICS ke Kuala Lumpur Oktober ini, bagi meneruskan dialog dan tindakan bersama ke arah masa depan global yang lebih adil dan saksama.