TANJUNG MANIS, 5 Julai – “Kami hanya sempat melihat bot itu karam di tengah laut, lalu terus berlari dapatkan bot dan bantu sedaya yang mungkin."
Itu luahan penduduk Kampung Belawai yang menyaksikan kejadian menyayat hati sebuah bot karam di perairan berhampiran pantai kampung itu, petang tadi.
Suhaimi, salah seorang penduduk yang berada berhampiran lokasi kejadian berkata, insiden berlaku ketika dia sedang berehat sebelum masuk bekerja pada pukul 2 petang.
“Dalam pukul 1.30 tengah hari, saya sedang duduk di tepi pantai. Bot tu saya nampak nak menyeberang laut, tapi saya tak pasti sama ada lebih muatan atau macam mana, tiba-tiba saja ia karam bila sampai di tengah laut,” katanya ketika ditemui RTM.
Menurutnya, sebaik menyedari kejadian itu, penduduk kampung segera bertindak pantas mendapatkan bot-bot yang tersedia di pesisir pantai untuk membantu menyelamatkan mangsa.
“Mana yang ada bot terus turun bantu. Ada lebih kurang tiga hingga empat bot kecil dan dua bot besar kami gunakan menyelamatkan mangsa,” jelasnya.
Seorang lagi penduduk, Waini Alias, berkata keprihatinan penduduk kampung jelas terserlah apabila semua bersatu hati berganding bahu menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
“Kami terus turun ke laut. Bot kecil enjin sangkut ada lebih kurang tujuh buah digunakan. Bot besar pula dua. Semua tak tunggu lama, semua nak selamatkan mangsa,” katanya.
Terdahulu, RTM melaporkan empat orang disahkan maut manakala enam masih lagi hilang selepas sebuah bot jenis fiber yang membawa 17 penumpang karam berhampiran di perairan Pantai Belawai dekat Kampung Belawai.
Empat mangsa yang disahkan maut terdiri daripada dua wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Manakala, enam lagi mangsa masih belum ditemukan terdiri daripada lima lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Setakat ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut dan operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan.
Maklumat lanjut berhubung jumlah mangsa yang selamat atau hilang akan dikemas kini oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.