fb fb fb fb fb

Polis terima 3,417 laporan kesalahan PRU15 di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 21 November- Sebanyak 3,417 laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula 4 November hingga pasca pilihan raya semalam.

Menurut Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali, daripada jumlah itu, Kedah mencatatkan jumlah laporan kesalahan tertinggi.

"Kedah mencatat sebanyak 447 laporan, diikuti 433 laporan masing-masing di Selangor dan Pahang, Kelantan (429), Perak (334) serta Johor (299)," kata Hazani menerusi satu kenyataan.

Sebanyak 508 kertas siasatan telah dibuka, 149 kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, enam telah dituduh dan empat individu dijatuhkan hukuman.


(Kedah mencatatkan jumlah laporan kesalahan tertinggi.)

Sementara itu, Hazani yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman berkata semalam, tujuh kertas siasatan telah dibuka dan satu tangkapan telah dibuat di Kedah melibatkan enam lelaki bersabit kertas siasatan bertarikh 19 November.

Tangkapan dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Media Baharu