fb fb fb fb fb

Barisan kepimpinan Johor tolak kerjasama BN, PH

JOHOR, 21 November- Barisan kepimpinan kerajaan Johor senada menolak kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) kerana ia juga merupakan suara dan kehendak rakyat negeri itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tindakan itu bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini terus menjadi keutamaan.

 
(Exco Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid)

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong turut berkata, semua pihak harus mengadakan perbincangan dengan aman dan tidak membuat sebarang kenyataan yang mengeruhkan keadaan.

"Saya yakin kerajaan yang bakal dibentuk nanti selepas mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong adalah kerajaan yang bukan sahaja Malaysia terjamin.

"Tetapi, secara peribadi ianya untuk rakyat Johor, pemimpin yang bakal dibentuk itu juga harus memastikan negeri Johor adalah dalam perhatian," katanya selepas Majlis Penyerahan Hasil Wakaf, Penyampaian Agihan Manfaat Wakaf dan Pelancaran Pelan Pembangunan Asnaf di Johor Bahru.

Lebih RM3 juta wang wakaf diterima hasil sewaan bangunan dan tanah pertanian di negeri ini daripada pelbagai pihak dan individu.

Menerusi majlis itu juga, seorang pewakaf, Mohd Maarof Abdul Kadir bersetuju mewakafkan keseluruhan tanahnya yang berkeluasan 2.34 ekar di Parit Haji Arif Benut Pontian bagi tujuan pembinaan sekolah agama, masjid dan surau.

Media Baharu