fb fb fb fb fb

Polis tahan ibu bapa empat beradik yang ditinggalkan

FOTO HIASAN

IPOH, 29 November - Dua individu dipercayai ibu bapa kepada empat beradik yang ditinggalkan di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah dekat Kampung Gajah, 23 November lepas.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Hafezul Helmi Hamzah dalam satu kenyataan berkata, kedua-duanya ditahan dalam tangkapan yang berasingan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kampung Gajah.

"Polis menahan lelaki terbabit pada Isnin lepas serta merampas sebuah motosikal Modenas Kriss berwarna biru serta pakaian yang digunakan lelaki itu semasa kejadian.

"Polis juga turut berjaya menahan seorang wanita semalam dan merampas sebuah telefon bimbit. Kedua-dua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah untuk siasatan lanjut kes ini," katanya.

Hafezul Helmi berkata siasatan dilakukan bawah Seksyen 33 (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak ditinggalkan tanpa pengawasan yang sewajarnya.

Menurutnya, siasatan berkenaan kejadian itu masih dijalankan dan orang awam dinasihatkan untuk tidak menyebarkan sebarang maklumat atau berita tidak sahih yang boleh menggusarkan masyarakat setempat.

Pada Jumaat lepas, Hafezul Helmi berkata pihaknya menerima maklumat melalui pegawai JKM daerah kira-kira 5.39 petang pada 23 November berhubung kejadian empat beradik termasuk seorang bayi dipercayai ditinggalkan di hadapan pondok pengawal kompleks berkenaan.

Beliau berkata kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu membabitkan dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan 3 tahun, bayi lelaki berusia 10 bulan dan kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun.

Hafezul Helmi berkata berdasarkan keterangan, adik-beradik malang itu dipercayai ditinggalkan oleh seorang wanita tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota.

TETITIA YUSOFF