BATU MAUNG, 29 November- Operasi mencari dan menyelamat empat lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam insiden runtuhan bangunan logistik yang sedang dalam pembinaan di Batu Maung, akan diteruskan tanpa henti sehingga kesemua mangsa ditemui.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Khairy Sulaiman berkata, ini kerana pihaknya mempunyai petunjuk bahawa mangsa-mangsa yang masih tertimbus berada pada jarak berdekatan antara satu sama lain.
"Maklumat yang kami terima daripada pihak kontraktor dan juga pemaju mangsa-mangsa berada di satu lokasi yang berdekatan dan kami menggunakan Unit K9 anjing pengesan untuk membantu mengesan mangsa-mangsa yang tertimbus.
"Keluasan lokasi kejadian adalah sebesar gelanggang bola kearanjang jadi lokasinya dalam lingkungan jarak hanya beberapa meter sahaja antara satu sama lain kerana mereka sedang menjalankan kerja-kerja untuk meletakkan 'beam' dan juga 'slab' dan sebagainya,"katanya.
Tambahnya, operasi turut mengalami kesukaran berikutan pasukan keselamatan perlu mengangkat dan mengalihkan konkrit serta bim di lokasi kejadian.
Terdapat 14 rasuk di kawasan itu dan kesemuanya jatuh menimpa buruh berkenaan.
Pasukan penyelamat terpaksa mengguna kren bagi mengangkat struktur binaan bagi memudahkan akses mencari mangsa.
Terdahulu Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, tiga mangsa yang terperangkap ditemui maut manakala dua lagi cedera parah dan sedang menerima rawatan di hospital Pulau Pinang, setakat jam 1.40 pagi tadi.
Operasi kini sedang fokus mencari empat lagi warga Bangladesh yang dikhuatiri tertimbus.