fb fb fb fb fb

Runtuhan bangunan logistik, empat mangsa lagi masih tertimbus

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pasukan JBPM mengalami kesukaran berikutan struktur konkrit yang besar

BATU MAUNG, 29 November- Polis Pulau Pinang mengesahkan tiga mangsa maut manakala dua lagi cedera parah dalam insiden runtuhan bangunan logistik yang masih dalam pembinaan, setakat ini.

Gudang logistik itu merupakan kompleks perniagaan logistik tiga tingkat yang terletak di Batu Maung, Bayan Lepas.

Kesemua mangsa dipercayai buruh warga Bangladesh yang bekerja untuk pembinaan bangunan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata empat lagi mangsa dikhuatiri masih tertimbus dalam insiden runtuhan berkenaan dan pihaknya bersama pasukan penyelamat lain giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

"Setakat ini, kita sudah kenal pasti tiga mangsa yang telah meninggal dunia. Dua mangsa meninggal di tempat kejadian dan satu mangsa lagi meninggal di hospital. Selain itu, dua lagi mangsa mengalami cedera parah dan sedang dirawat di hospital Pulau Pinang, kata Mohamed Usuf kepada pemberita di lokasi kejadian.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Zulfahmi Sutaji memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengalami kesukaran berikutan struktur konkrit yang besar.

"Kesukaran kita ini melibatkan struktur-struktur konkrit yang bersaiz besar, yang berat. Ia memerlukan jentera atau mesin untuk mengangkat dan membersihkan kawasan supaya kami mudah akses kepada mangsa yang berbaki empat individu lagi itu," kata Zulfahmi kepada pemberita.

Terdahulu, JBPM negeri menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian runtuhan tersebut pukul 9.58 malam tadi dan bergegas menjalankan SAR.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM