fb fb fb fb fb

Polis tahan empat lelaki, rampas ketamin RM1.4 juta

KOTA BHARU, 8 Januari- Polis Kelantan merampas dadah jenis ketamin bernilai RM1.4 juta menerusi sekatan jalan yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kampung Laloh, Kuala Krai.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata pihaknya turut menahan empat lelaki termasuk seorang pelajar sekolah.

Kesemua ditahan berusia 16 hingga 30 tahun.

"JPJ mendapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan apabila berhenti secara mengejut kira-kira 200 meter daripada sekatan jalan raya sebelum dua lelaki bertindak melarikan diri. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta berkenaan menemui bungkusan berwarna putih yang diletakkan di dalam bonet kereta disyaki dadah," katanya pada sidang media di Kota Bharu.

Menurut Muhamad Zaki, susulan rampasan itu pihaknya melakukan empat serbuan berasingan di Pasir Mas sejak kelmarin sehingga semalam sehingga membawa kepada beberapa tangkapan termasuk pelajar sekolah.

Semua bekalan dadah terbabit dipercayai dibawa masuk dari negara jiran dan dalam perjalanan ke Lembah Klang.


(Kesemua ditahan berusia 16 hingga 30 tahun)

Kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau dan mereka ditahan reman sehingga Sabtu ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media Baharu