(Teo Nie Ching)
JOHOR BAHRU, 8 Januari- Media arus perdana khususnya agensi berita tempatan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Jabatan Penerangan (JaPen) perlu terus menjadi sumber berita sahih untuk rakyat dalam situasi mencabar dengan penyebaran maklumat tanpa batas menerusi pelbagai saluran media sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, ketiga-tiga agensi itu kekal relevan menjadi sumber rujukan maklumat terutama melibatkan inisiatif kerajaan.
Jelas beliau, kerajaan tidak berhasrat menghalang sebarang bentuk perkongsian di media sosial tetapi menyerahkan kepada rakyat untuk menyemak sumber berita yang diterima sebelum dikongsi.
"Sekarang media sosial sudah menjadi platform yang diguna pakai semua orang, kita tidak boleh hentikan akses mereka dan itu bukan hasrat kerajaan.
"Kebebasan bersuara adalah ciri penting yang menunjangi sistem demokrasi. Sebagai sebuah negara demokrasi, saya yakin bahawa setiap warga mempunyai kebebasan untuk menyatakan pendapat dan kritikan.
"Bagaimanapun kita perlu ingat bahawa kebebasan bersuara ini bukan bermakna anda ada kebebasan untuk berbohong dan menghasut," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke konti Johor fm dan RTM Johor, di sini.
Dalam pada itu, Nie Ching memaklumkan sebanyak tujuh kertas siasatan berkaitan penyebaran berita palsu yang menyentuh sentimen agama, kaum dan institusi diraja dibuka sejak 1 Disember 2022 hingga 6 Januari tahun ini.
"Pihak kementerian sedang menunggu tindakan selanjutnya yang kini dalam tindakan Pejabat Peguam Negara," katanya.
(Teo Nie Ching melawat konti RTM Johor)