SHAH ALAM, 12 Julai - Polis telah memulakan siasatan berhubung dakwaan berlaku aktiviti tidak bermoral semasa penganjuran program motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata laporan mengenai perkara itu telah dibuat oleh suami kepada seorang peserta program berkenaan pada akhir Februari lepas.
“Kita telah memanggil isteri pengadu bersama beberapa saksi lain yang berada di lokasi kejadian untuk dirakam keterangan. Kami turut menjemput wakil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi sesi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mana-mana individu yang mempunyai maklumat dan ingin tampil memberikan keterangan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam atau Pegawai Penyiasat ASP Anuar Amilah di talian 019-225 5597.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilaporkan berkata pihaknya akan menyiasat penganjuran program motivasi rumah tangga yang diadakan di pusat konvensyen tersebut pada September tahun lalu, susulan dakwaan ia mengandungi unsur mencolok mata dan berunsur syirik. - BERNAMA