BUTTERWORTH, 31 Januari - Polis Pulau Pinang telah melakukan persiapan rapi menjelang persidangan ASEAN di Pulau Pinang.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya akan menggunakan sepenuhnya kekuatan kontijen negeri dalam penugasan ASEAN.
Penugasan dilakukan melibatkan aspek keselamatan dan lalu lintas bagi memastikan kelancaran mesyuarat sepanjang persidangan ASEAN kelak.
Selain menempatkan pegawai dan anggota di lokasi tumpuan utama di negeri itu bagi menguruskan keperluan sepanjang acara berlangsung.
"Kita juga telah memberikan tumpuan khusus untuk menguruskan perjalanan aliran trafik dan keselamatan yang kita bagi tumpuan khusus kepada isu isu ini. Buat masa ini, kita tiada masalah.
'Kita dah beberapa kali buat mesyuarat perancangan sama ada di peringkat tertinggi dan juga peringkat pegawai pegawai. Kita nak pastikan Pulau Pinang berkemampuan untuk menangani ataupun menguruskan isu isu keselamatan lalu lintas sepanjang tempoh persidangan ASEAN akan berlangsung," kata Hamzah.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan pihak polis dalam menghadapi program serta mesyuarat sepanjang Kepengerusian ASEAN di Pulau Pinang.
Terdahulu beliau hadir pada Majlis Advokasi sempena Op Selamat 23/2025 Tahun Baharu Cina Peringkat PDRM Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua arah Selatan di Sungai Dua.
Media sebelum ini melaporkan Pulau Pinang bakal menjadi tuan rumah kepada 13 mesyuarat utama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, melibatkan perbincangan pada peringkat kerja, pegawai kanan dan menteri yang akan dijalankan tujuh kementerian.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pulau Pinang, Datuk Abdul Kahar Abdullah berkata, mesyuarat-mesyuarat itu meliputi pelbagai bidang kerjasama strategik antara negara anggota ASEAN, merangkumi aspek keselamatan, ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan, dan pembangunan belia.
Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri antara kementerian yang terlibat.