SARIKEI, 3 November – Dua lelaki maut manakala seorang wanita cedera parah dalam kemalangan melibatkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Sare, di sini pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 9.35 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei digerakkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan lima anggota serta sebuah jentera FRT.
Menurut JBPM, dua lelaki dewasa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM), manakala seorang wanita mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Sarikei menggunakan ambulans KKM.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Nyaring Achang, 43 tahun dan Louis Asey, 58 tahun, kedua-duanya merupakan penunggang motosikal.
Manakala mangsa yang cedera parah ialah Seloma Joshua Bunsu, 58 tahun.
Bagaimanapun, pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut dilaporkan melarikan diri dari lokasi kejadian dan kes kini dalam siasatan pihak polis.
