IPOH, 31 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan ke salah satu stesen kumbahan di Taman Cempaka bagi Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan (Pakej 1) di sini.
Turut serta dalam lawatan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan di Ipoh itu hampir siap sepenuhnya.
Projek berkenaan bakal memanfaatkan 1.5 juta penduduk, selain mengurangkan pencemaran sungai serta bau.
"Pakej 1 dan 2, telahpun siap, pakej 3 sekarang ini hampir 88 peratus siap. Ada sedikit cabaran iaitu berkaitan dengan tanah yang ada kaviti dan sebagainya. Kita sudah minta Jabatan Mineral untuk membuat kajian dan pengesahan dan sekarang ini JPP (Jabatan Perkhidmatan Pembetungan) sedang membuat penilaian apakah langkah untuk kita siapkan projek ini", ujar Datuk Seri Fadillah.
Pakej 1 projek tersebut melibatkan pembinaan rangkaian paip pembentungan sepanjang 88 kilometer, sembilan buah stesen rangkaian pam serta penyahtauliah dan perobohan 149 buah loji awam.
Keseluruhan projek tersebut melibatkan peruntukan RM2.02 bilion menerusi Rancangan Malaysia ke-10 meliputi kawasan Ipoh dan sebahagian Gunung Rapat dan Mengelembu.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan pemberian Sijil Perakuan Siap Projek Pembentungan Papan Pakej Satu daripada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan kepada pihak kontraktor.