DUNGUN, 31 Januari - Seorang lelaki parah selepas dipercayai diserang seekor beruang di ladang sawit Kampung Telembuh, Jerangau Sungai, di sini.
Dalam kejadian itu mangsa, Nik Azhar Daud, 40 tahun, dilaporkan cedera pada beberapa bahagian anggota badan dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan pergi ke kawasan ladang berkenaan untuk melihat kerbau peliharaannya yang terletak tidak jauh dari Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2).
Menurut isteri mangsa, Roshuhaida Mokhtar, 39 tahun, ketika suaminya sedang berehat, seekor beruang hitam tiba-tiba muncul dari arah belakang sebelum menyerang dan mengigit tengkuk suaminya.
Ketika bergelut dengan haiwan itu, suaminya sempat mencapai sebilah pisau di pinggangnya dan menikam beberapa kali beruang berkenaan sebelum haiwan liar itu melepaskan suamninya lalu melarikan diri.
Mangsa kemudiannya berjaya diusung keluar dari hutan berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan sebelum dirujuk ke HSNZ bagi rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.