PETALING JAYA, 3 November - Penambahbaikan bagi had siling kelayakan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) untuk pemandu e-hailing sepenuh masa akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, pihak kerajaan telah mengadakan perjumpaan dengan platform e-hailing bersama pihak Kementerian Pengangkutan untuk melihat tahap kecukupan dari segi had kelayakan.
Jelasnya, susulan perbincangan antara pihak terlibat, terdapat persetujuan dasar untuk menambah baik tahap kelayakan tersebut.
''Ketetapan bagi menambah baik kelayakan pemandu e-hailing dibuat selepas meneliti data penggunaan yang dikemukakan oleh pihak penyedia perkhidmatan e-hailing kepada kerajaan.
''Penambahbaikan itu akan diumumkan tidak lama lagi dan dijadual berkuatkuasa pada bulan ini,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Persidangan Perniagaan: Perkembangan Terkini Belanjawan Nasional 2026, SST & Perdagangan Antarabangsa' anjuran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) di sini, hari ini.
Pada 13 Oktober lepas, kerajaan telah mengumumkan kenaikan had siling kelayakan bulanan BUDI95 bagi pemandu e-hailing sepenuh masa kepada 600 liter sebulan yang memanfaatkan hampir 58,000 pemandu e-hailing di seluruh negara.
Bagaimanapun, pemandu e-hailing menyifatkan kadar kelayakan itu tidak mencukupi untuk mengekalkan operasi harian mereka.
Bawah program BUDI95, semua pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak membeli RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan.
Sejak pelaksanaan BUDI95, sebanyak 16.55 juta rakyat Malaysia layak menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi, melebihi unjuran asal sebanyak 15 juta orang.