IPOH, 31 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan berhubung insiden tembakan yang membabitkan warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu akan dilaksanakan secara telus.
Beliau berkata perkara tersebut sedang diteliti serta mengikut lunas undang-undang tanpa melindungi mana-mana pihak.
Sebagai tanda hubungan baik antara Malaysia-Indonesia juga, laporan awal siasatan harus disampaikan kepada kedutaan Indonesia.
"Siasatan ini bila lengkap sepenuhnya akan juga diteliti oleh rakan-rakan kita di Indonesia. Kita tidak mahu hal-hal ini mengganggu hubungan baik. Tetapi negara ini mesti mengikut hukum, terlalu ramai orang yang datang tanpa izin, terlalu ramai yang datang melalui penyeludupan, manusia, dadah, barang-barang haram.
"... dan kita terpaksa tegas untuk menghalang hal-hal sedemikian, tetapi saya ingin beri jaminan tidak boleh melanggar hukum, tidak boleh lakukan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang, jangan ikut umpamanya kemarahan melulu kerana akan menjejaskan hubungan baik di antara kita", katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Teh Rakyat Sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa, Kanthan Baru di sini.
Jumaat lalu, dalam insiden tembakan di perairan Tanjung Rhu, Selangor, seorang warga Indonesia maut, manakala empat lagi cedera.
Mereka dipercayai tidak memiliki dokumen sah dan mereka disyaki sedang dalam proses untuk keluar dari perairan negara melalui laluan yang tidak sah.
Sementara itu, wakil rakyat atau pimpinan masyarakat perlu berperanan dengan baik, agar setiap permasalahan di kawasan mereka dapat didengar dan diselesaikan dengan baik.
Datuk Seri Anwar berkata, dengan keadaan ekonomi yang semakin baik, kerajaan hari ini terus memberi fokus kepada penyelesaian projek rakyat supaya dapat dimanfaatkan komuniti setempat. Ini termasuk sektor pendidikan dan kesihatan yang terus ditambah baik.
"Untuk Tambun sahaja tahun ini kita nak selesaikan projek-projek rakyat, yang mana kita tahu, kita tanya dia mahu dewan ini, dia mahu lampu jalan ini, dia mahu baiki longkang ini, dia mahu cuci parit semuanya", katanya.