fb fb fb fb fb

Mekanisme pelaksanaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 3.0 diteliti

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 November - Mekanisme pelaksanaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 3.0 sedang diteliti agar lebih menyeluruh dan memberi impak maksimum kepada pekebun kecil persendirian (PKP).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha itu dijangka dapat meningkatkan kadar tanam semula serta produktiviti sawit negara.

Pada masa sama, terus berusaha untuk menambah baik pelaksanaan aktiviti tanam semula sawit bagi jangka panjang agar terus relevan untuk dijalankan oleh semua peringkat pemain industri terutama kepada PKP

“Penanaman semula kelapa sawit amat penting untuk memastikan eksport negara kekal melebihi 100 peratus.Bagi syarikat besar, ia bukan masalah, tetapi tumpuan kerajaan kini adalah membantu pekebun kecil dan syarikat kecil.

"Setakat ini, bantuan hanya diberikan kepada mereka yang memiliki bawah 10 hektar dan kerajaan sedang meneliti cara membantu kumpulan antara 10 hingga 40 hektar bagi melaksanakan penanaman semula,” beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2026) peringkat dasar bagi kementeriannya di Parlimen, hari ini.

Selain itu, pihaknya juga telah mengemukakan permohonan berkaitan Skim Insentif Pembiayaan TSPKS kepada Kementerian Kewangan (MoF) yang kini masih dalam pertimbangan.

Ia bagi memperkasa aktiviti tanam semula sawit pada tahun hadapan .

Jelasnya peruntukan dana berjumlah RM100 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, akan melibatkan kadar pembiayaan tanam semula, masing-masing RM14,000 setiap hektar di Semenanjung Malaysia dan RM18,000, di Sabah dan Sarawak.

Daripada jumlah peruntukan itu, beliau turut menyasarkan sebanyak 5,900 hektar terlibat dengan aktiviti tanam semula dengan anggaran sebanyak 1,500 PKP akan menerima manfaat.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN