KUALA LUMPUR, 3 November – Lebih 645,000 rakyat Malaysia menyertai Skim Persaraan Swasta (PRS) sejak diperkenalkan pada tahun 2012, dengan jumlah aset di bawah pengurusan mencecah RM8.52 bilion setakat Oktober tahun ini.
Pentadbiran Pencen Swasta (PPA) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kempen terkininya, #ISaveinPRS Treats 2025, menawarkan hadiah utama bernilai RM50,000 bagi menarik lebih ramai penyertaan menjelang tarikh tamat kempen pada 31 Disember 2025.
Kempen yang bermula sejak 1 Ogos lalu turut menyediakan pelbagai hadiah lain dengan jumlah keseluruhan RM200,000, termasuk cabutan bertuah PRS Treats Draw dan Grand Draw.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPA, Taufiq Iskandar, peserta yang membuat caruman sekurang-kurangnya RM3,000 sepanjang tempoh kempen, layak menyertai Grand Draw yang menawarkan dua hadiah utama bernilai RM50,000 setiap satu.
Manakala caruman RM1,000 melayakkan ahli menyertai cabutan PRS Treats Draw.
"Jumlah keseluruhan kempen ini yang kita tawarkan adalah RM200 000 ringgit dan dalam masa 2 bulan yang lepas Ogos dan September lebih daripada 13,900 orang telah layak untuk menyertai kempen ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pentadbir Pencen Swasta (PPA), Datuk Dr. Tengku Aizan Tengku Abdul Hamid turut menjelaskan, dana-dana PRS terus mencatatkan prestasi positif dengan pulangan antara 6.20 hingga 22.42 peratus bagi tempoh setahun berakhir September 2025.
Selain itu, ahli PRS juga layak menikmati pelepasan cukai individu sehingga RM3,000 setahun sehingga tahun 2030.
Datuk Dr. Tengku Aizan juga mengingatkan, kepentingan merancang simpanan persaraan seawal mungkin, khususnya dalam kalangan pekerja sambilan dan mereka yang terlibat dalam ekonomi gig.
Kajian Ipsos tahun lepas mendapati, ramai pekerja gig belum mempunyai pelan persaraan yang tetap, dengan 70 peratus menjalankan kerja gig secara sambilan dan hanya 30 peratus bekerja sepenuh masa.
Beliau menegaskan, walaupun gig bersifat fleksibiliti, ia tidak menjamin kestabilan kewangan jangka panjang, justeru skim PRS dilihat mampu membantu golongan berkenaan mencapai keselamatan kewangan apabila bersara.