fb fb fb fb fb

Polis Perak rampas dadah jenis syabu lebih RM6 juta, tahan lima lelaki

(Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri bercakap pada sidang media di 
Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di Ipoh)

IPOH, 29 Ogos - Lima lelaki termasuk dua beradik ditahan selepas disyaki terlibat aktiviti memproses dan mengedar dadah jenis syabu pada 26 Ogos lalu di Tapah, Perak.

Kesemua suspek berusia lingkungan 29 hingga 33 tahun ditahan pada pukul 9.45 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil serbuan yang dilakukan berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 110.453 kilogram dianggar bernilai lebih RM6 juta.

(Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri menunjukkan dadah jenis syabu yang
dirampas pada 26 Ogos lalu)

"Turut dirampas dalam operasi ini adalah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah, semakan rekod jenayah mendapati empat suspek mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini.

Jelas Mohd Yusri, sindiket dipercayai mula aktif sejak bulan Jun lalu dan kesemua dadah yang dirampas adalah untuk edaran pasaran luar negeri Perak serta digunakan oleh lebih satu juta penagih.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 27 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media Baharu