KUALA LUMPUR, 8 Julai - Pendidikan rentas sempadan di rantau ASEAN kini dilihat semakin berkembang pesat, seiring kemajuan teknologi komunikasi dan capaian global.
Naib Canselor dan Presiden Universiti UCSI, Prof. Emeritus Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, berkata trend pendidikan rentas sempadan kini memasuki fasa lebih aktif dan menyeluruh dalam kalangan institusi pendidikan tinggi ASEAN, hasil dorongan digitalisasi dan keperluan menangani isu sejagat secara kolektif.
“Saya melihat trend pendidikan rentas sempadan di ASEAN sangat memberangsangkan dan dijangka menjadi satu aktiviti yang semakin rancak dalam kalangan universiti di rantau ini. Dengan adanya digitalisasi, pelbagai perkara kini dapat dilaksanakan dengan lebih mudah termasuk mesyuarat dalam talian serta penyertaan pelajar dalam program mobiliti secara lebih meluas,” katanya.
“Penyelidik dari pelbagai negara juga kini boleh bekerjasama menjalankan penyelidikan bersama, khususnya berkaitan isu-isu sejagat seperti perubahan iklim. Ini bukan isu yang terhad kepada satu negara sahaja, sebaliknya cabaran bersama yang memerlukan pendekatan kolektif merentas sempadan,” ujarnya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, RTM.
Prof. Siti Hamisah juga menekankan bahawa pendekatan digital bukan hanya memudahkan urusan akademik, malah memberi akses kepada pengalaman pembelajaran antarabangsa secara maya sekali gus menjadikan pendidikan lebih inklusif dan melangkaui batasan fizikal.
“Pada hari ini, pendidikan tidak lagi mempunyai batasan. Ia merentasi seluruh pelusuk dunia, generasi muda perlu merebut peluang ini kerana dalam banyak keadaan, mereka tidak perlu lagi ke luar negara. Hanya dengan sentuhan butang, akses kepada ilmu dan pengalaman global kini berada di hujung jari,” ujar beliau.
Inisiatif seperti ini dijangka terus diperluas dengan sokongan dasar serantau seperti ASEAN Qualifications Reference Framework (AQRF) yang membantu memudahkan mobiliti pelajar dan penyetaraan akademik antara negara.