KUALA LUMPUR 8 JULAI - Rapid Bus memaklumkan bahawa siasatan telah dijalankan berhubung insiden melibatkan pemandu bas perantara MRT dengan sekumpulan penunggang basikal, selepas video kejadian berkenaan tular di media sosial.
Menerusi rakaman yang dimuat naik oleh seorang penunggang basikal, bas tersebut dilihat memandu berhampiran kumpulan terbabit sebelum berhenti dan berlaku perselisihan faham.
Rapid Bus menjelaskan semasa kejadian, kapten bas berdepan dengan kesukaran untuk memandu akibat kumpulan berkenaan mengayuh secara berkumpulan di hadapan bas, selain ada yang menggunakan lorong kiri serta menghalang laluan.
Susulan itu, kapten bas berkenaan memberhentikan kenderaan dan menegur kumpulan tersebut, namun berlaku pertengkaran sebelum seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan melalui kawasan tersebut bagi menenangkan keadaan.
Kapten bas berkenaan juga telah diberi sesi kaunseling bagi membantu beliau mengendalikan situasi yang akan datang.
Semua pemandu juga telah diingatkan untuk terus mematuhi panduan keselamatan dan mengamalkan pemanduan berhemah.
Orang ramai, khususnya penunggang basikal, turut dinasihatkan agar sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya dengan menunggang secara satu barisan agar tidak menganggu aliran trafik.