fb fb fb fb fb

Murid berisiko murung: NGO gesa perkukuh sistem kaunselor di sekolah

Foto hiasan/Arkib BERNAMA

PETALING JAYA, 8 Julai -Kerajaan dan semua pihak berkepentingan perlu bertindak segera dalam membaik pulih sistem sokongan psikososial supaya tidak terus membebankan tugas kaunselor.

Gesaan dibuat Presiden NGO Empati, Syahida Zulkarnain susulan pendedahan Exco Kesihatan Awam Selangor, Jamaliah Jamaluddin bahawa 1,020 murid sekolah menengah di negeri itu berisiko tinggi mengalami kemurungan.

Jelas Syahida Zulkarnain, perkara itu bukan sahaja membimbangkan, malah menuntut pembaharuan dasar lebih jelas dan sistematik seterusnya memperkukuh sistem kaunselor sekolah secara menyeluruh.

“1,020 murid itu hanyalah permukaan gunung ais – di bawahnya mungkin ribuan lagi sedang menjerit tanpa suara. Jika kita tidak bertindak hari ini, mereka mungkin akan hilang esok – secara emosi, akademik atau lebih tragik, nyawa mereka sendiri,” kata menerusi satu kenyataan.


0807 NGO KAUNSELOR2Kenyataan Pengasas & Presiden NGO Empati, Syahida Zulkarnain 

Tambahnya, NGO Empati mendapati bahawa ramai kaunselor sekolah hari ini terbeban dengan tugas pentadbiran, dan tidak diberi ruang mencukupi untuk menjalankan fungsi emosi dan sokongan psikososial kepada pelajar.

“Dengan nisbah kaunselor kepada pelajar yang mencecah 1:500 atau lebih, serta ketiadaan latihan berterusan dan fasiliti yang sesuai, peranan kaunselor semakin terpinggir,” katanya.

Justeru, badan bukan kerajaan itu mengemukakan beberapa cadangan lebih jelas dan berkuasa berkaitan garis panduan etika dan fungsi kaunselor serta Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolah.

“Penyelesaian bukan terletak pada program jangka pendek semata-mata, tetapi melalui reformasi dasar,” jelas Syahida.

Cadangan lain yang dikemukakan termasuk mengadakan latihan secara berkala untuk kaunselor dalam modul seperti psychological first aid, trauma-informed care dan komunikasi berasaskan empati.

Turut dicadangkan adalah pemerkasaan PRS secara nasional agar pelajar mengetahui bahawa mereka tidak bersendirian; ruang kaunseling selamat dan tidak menghakimi di setiap sekolah dan promosi kesedaran kesihatan mental di sekolah sebagai norma dan bukan stigma.

MAT YUNUS BIN SABRI