fb fb fb fb fb

Tenaga Boleh Baharu beri impak positif kepada negara - PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos - Trend semasa dunia yang agresif dalam mengurangkan jejak karbon, memberi impak perkembangan positif kepada industri Tenaga Boleh Baharu (TBB) di negara ini.

Ini khususnya melibatkan permintaan terhadap pembangunan dan pelaburan tenaga elektrik daripada sumber lestari terutama dalam sektor pengangkutan, pemanasan dan penyejukan serta proses industri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peningkatan dalam pelaburan serta permintaan bekalan elektrik mesra alam atau elektrik hijau, secara tidak langsung membuka peluang ekonomi dan perniagaan baharu kepada pemain industri TBB tempatan.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap merasmikan Persidangan Tenaga
Lestari Antarabangsa (ISES) Kelima 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur)

"Mengambil kira Malaysia memiliki rantaian nilai industri TBB yang kukuh daripada peringkat pembuatan, sehingga ke peringkat pembekalan perkhidmatan, kita perlu memanfaatkan kelebihan perbandingan yang dimiliki untuk menarik pelaburan hijau dan bernilai tinggi ini.

"Hasrat ini perlu didukung melalui penetapan dasar perancangan penjanaan dan pembekalan elektrik yang lebih kompetitif, bercita-cita tinggi dan dicorak berasaskan perkembangan dan permintaan semasa," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Kelima 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Tambah Datuk Seri Ismail, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan menerajui perubahan dasar tersebut dengan menambah baik kerangka dasar dan regulatori pembekalan elektrik sedia ada, untuk diselaras dengan keperluan dan permintaan semasa.

Sementara itu, Datuk Seri Ismail Sabri berkata nilai pelaburan baharu berjumlah RM6 bilion dan 14,000 peluang pekerjaan dijangka dapat diwujudkan bagi menyokong pembangunan industri TBB di negara ini.

Katanya, jangkaan itu berdasarkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan program serta pembaharuan sistem pembekalan elektrik negara yang memberi tumpuan kepada 4 inisiatif.

"Pertama, meluluskan peruntukan dan pengagihan semula kuota TBB sebanyak 1,200 (mw) bagi sumber solar dan kuota baharu ini akan diagihkan untuk pelaksanaan program di bawah mekanisme sedia ada, termasuk New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) dan program pemasangan solar di bumbung bangunan.

"Penerokaan kaedah pelaksanaan program TBB baharu seperti pembangunan taman solar (solar park), pembekalan elektrik untuk tujuan pusat-pusat data baharu serta penjanaan hidrogen hijau dan sebagainya," katanya.

Kata Ismail, pelaksanaan program serta pembaharuan sistem pembekalan elektrik negara antara lain termasuk melaksanakan inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu.

Serta membangunkan kerangka Renewable Energy Certificate (REC) Kebangsaan, serta menetapkan kerangka perundangan kawal selia keselamatan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV).

Media Baharu