fb fb fb fb fb

Golongan belia diseru manfaat masa muda, bina jati diri kepimpinan

PADANG BESAR, 29 Ogos- Kepimpinan belia dalam mewarisi pentadbiran negara pada masa depan dapat diukur menerusi penglibatan aktif mereka dalam aktiviti persatuan.

Selain dapat menyerlahkan potensi kepimpinan, belia perlu bersiap siaga dengan pengetahuan tinggi, sahsiah dan kerohanian terpuji malah berkemahiran, inovatif dan kreatif untuk menjadi pemimpin.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata mereka yang bakal mewarisi negara ini seharusnya dibentuk dengan elemen kepimpinan yang terbaik.

Masa muda golongan belia seharusnya dimanfaat sebaik selain perlu merebut peluang menjana pengalaman dalam pentadbiran negeri dan negara, disokong dengan semangat integriti yang tinggi dalam kepimpinan.

"Ini satu perkembangan yang baik, melibatkan bukan sahaja satu kaum tetapi melibatkan pelbagai kaum, Cina, Melayu dan India. Jadi, satu perkembangan yang saya rasa sangat memberangsangkan khususnya untuk golongan belia yang bakal mewarisi kepimpinan pada masa akan datang," kata Azlan Man kepada pemberita RTM pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri di Felda Chuping, Padang Besar.


(Anugerah Pertubuhan Terbaik diungguli Kelab Bell Belia Tamil Cawangan Kampung Kota)

Pelbagai anugerah turut disampaikan menerusi sambutan kali ini antaranya ialah Anugerah Pertubuhan Terbaik diungguli Kelab Bell Belia Tamil Cawangan Kampung Kota manakala Naib Johan dimenangi Angkatan Belia Islam Malaysia.

Sepanjang sambutan Hari Belia Negara ini, pelbagai aktiviti berlangsung termasuklah Kayuhan Berbasikal Hari Belia, pameran pelbagai agensi dan jabatan, perkhemahan Salferino PBSM, ekspo jualan pelbagai produk IKS dan Karnival Kerjaya.

Media Baharu