fb fb fb fb fb

Polis Perak nafi berlaku rusuhan di Pejabat UMNO Lenggong

Foto Fail

IPOH, 23 November - Polis Perak menafikan berlakunya kejadian rusuhan di hadapan Pejabat UMNO Bahagian Lenggong selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan perkara tersebut selepas gambar mengenai kejadian tersebut tular di media sosial.

Hasil semakan mendapati gambar dimuat naik merupakan penugasan kawalan keselamatan semasa malam penjumlahan undi di perkarangan Dewan Merdeka Majlis Daerah Lenggong.

Ketika gambar tersebut diambil juga, tiada sebarang insiden yang berlaku.

Susulan penularan tersebut, satu laporan polis dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan sepanjang PRU15, pihaknya menerima sebanyak 281 laporan berkaitan kesalahan semasa berkempen.

Daripada jumlah itu, 25 kertas siasatan telah dibuka membabitkan lima tangkapan.

Pada hari pengundian pula, sebanyak 43 laporan diterima berkaitan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Kanun Keseksaan.


(Datuk Saarani Mohamad dilantik Menteri Besar Perak yang ke-15 pada Isnin lalu)

 

Media Baharu