fb fb fb fb fb

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok tentukan PM ke-10

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 November- Satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu akan diadakan esok, bertujuan untuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi membantu baginda membuat keputusan demi kepentingan negara dan kesejahteraan negara dan rakyat.

“Seri Paduka Baginda telah menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja di Istana Negara esok, Khamis 24 November 2022,” menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin yang dikeluarkan awal petang ini.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap wakil-wakil Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara berasingan.

Sesi menghadap itu adalah lanjutan daripada sesi menghadap ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada petang semalam.

Proses tersebut dilaksana selaras dengan Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan bagi membuat keputusan dalam melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri ke-10.

Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat dan semua pihak terus bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan selesai.


(Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah sempat
meluangkan masa bersama pengamal media yang berkampung di perkarangan luar Istana Negara)

Media Baharu