
KUALA LUMPUR, 12 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima makluman berhubung penganjuran ‘Himpunan Gegar TikTok’ yang dijadual berlangsung esok.
- Polis adakan perbincangan dengan penganjur untuk memastikan kelancaran dan keselamatan acara.
- Nasihatkan pematuhan undang-undang dan syarat bagi mengelakkan insiden termasuk kesesakan lalu lintas.
- Tindakan tegas tanpa toleransi akan diambil terhadap mereka yang menimbulkan gangguan atau keganasan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, perbincangan bersama penganjur telah diadakan bagi memastikan kelancaran serta keselamatan acara.
Beliau berkata, polis turut menasihatkan semua pihak yang terlibat supaya mematuhi undang-undang dan syarat ditetapkan bagi mengelakkan insiden tidak diingini, termasuk kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar lokasi perhimpunan.
Ujarnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan, termasuk menimbulkan gangguan atau unsur keganasan sepanjang perhimpunan tersebut.
“Pihak polis akan memastikan keselamatan semua pihak dan menjadikan aspek keselamatan sebagai keutamaan sekiranya ada perhimpunan-perhimpunan yang dianjurkan sebegini.
“Sekiranya berlaku sebarang kekerasan atau pelanggaran undang-undang, tidak ada toleransi dan PDRM akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya,” katanya selepas Majlis Peluncuran Advokasi Kesedaran Lalu Lintas 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Damai, Cheras, hari ini.
Terdahulu, pempengaruh media sosial, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheng, menjemput orang ramai khususnya pengguna TikTok untuk menghadiri ‘Himpunan Gegar TikTok’.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheng berkata, himpunan aman itu akan diadakan pukul 10 pagi di Ibu Pejabat TikTok, Sunway Velocity di sini.
Menurutnya, himpunan itu bagi menyampaikan peringatan supaya platform media sosial khususnya TikTok tidak lagi disekat dan hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak ditindas.