KUALA LUMPUR, 17 April - Pihak pengurusan akhbar Sin Chew Daily dipanggil untuk dirakam keterangan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman hari ini.
Ia berhubung siasatan isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di muka hadapan akhbar berkenaan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, individu yang dipanggil ialah Timbalan Ketua Penyunting yang berperanan sebagai pereka grafik gambar berkenaan manakala Ketua Editor pula pihak yang meluluskan penyiaran ilustrasi tersebut.
Beliau memaklumkan setakat ini polis menerima 13 laporan berhubung isu berkenaan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Terdahulu, insiden berkenaan mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut bertitah akhbar berkenaan perlu lebih peka dalam penyiaran apa jua bahan siaran.